Kisah Sang Kasut oleh Penulis Muhammad Mat Yatim

by - 6:39:00 PM

Kisah Sang Kasut
oleh Penulis Muhammad Mat Yatim

Suatu hari, saya ke kedai kasut. Hajat hati, mahu tukar kasut yang koyak. Jumpa yang berkenan, saya terus pakai. Kasut koyak, saya campak ke dalam bakul sampah di kedai itu juga. Memang saya sayang sangat kasut itu. Dua tahun kasut yang saya beli dengan harga separuh itu saya pakai. Mahunya tidak koyak, hampir setiap hari saya lanyak.
kasut koyakUsin Misai, tukang kasut di Bandar Tasik Puteri, Rawang sudah berkali-kali suruh saya beli kasut baru kerana katanya, sudah tidak ada tempat lagi untuk dia jahit setiap kali saya hantar kasut itu untuk dibaiki. Kali ini, saya terpaksa ikut nasihat Usin Misai kerana katanya, kalau saya hantar juga lagi, dia tidak mahu jahit walau berapa pun upah.
kasut2
Dengan hati yang tidak begitu rela, kasut itu terpaksa saya ‘bakulsampahkan’ juga. Dengan kasut baru, saya melangkah ke kaunter untuk bayar harganya. Alamak! Baru saya sedar, wang dalam dompet tak cukup, sedangkan kasut baru sudah saya pakai. Saya memang tidak ambil endah berapa wang yang dibawa kerana setelah sedar hanya tinggal beberapa keping, baru saya ke ATM.
Saya hulur kad kredit, ditolak si juruwang dengan alasan ‘urus niaga tunai sahaja’.
Tebalnya muka hanya Tuhan yang tahu. Saya pun melangkah ke arah tong sampah, keluarkan semula kasut koyak yang dibuang tadi, dan saya pakai.
Dalam hati berkata-kata: “Kuat juga jodoh kita ya kasut koyak!”
Sesudah itu, kasut baru yang saya pakai, saya masukkan semula ke dalam kotak. Semuanya saya buat sendiri. Si gadis juru jual seperti mengejek: “Apa kena orang ni? Datang beli kasut bawa duit tak cukup!”
Saya pura-pura tanya, di mana mesin ATM yang terdekat, semata-mata untuk tutup malu.
Kemudiannya, saya datang datang semula ke kedai itu, bayar harga kasut baru, terus pakai. Kasut koyak kena buang juga akhirnya.
Mujurlah berakhir setakat itu sahaja. Katakanlah, ini pula yang berlaku:
Setelah kasut koyak saya buang, ada pekerja pembersihan datang pungut sampah itu, masuk guni dan bawa pergi. Tersedar wang untuk harga kasut tidak cukup, saya kejar pemungut sampah itu. Kerana hendak cepat, saya terlupa buka kasut baru yang saya pakai.
Jurujual itu pula menjerit: “Pencuri! Pencuri!”
Pengawal tangkap saya dan dibawa ke balai polis. Terpaksa tidur lokap. Tiba harinya, saya dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah kerana curi kasut. Esoknya surat khabar pun siarkan berita bergambar ‘PENULIS DIPENJARA CURI KASUT RM150′.
Terpampang gambar saya diiringi polis, tangan digari. Oleh kerana berstatus banduan, saya dibuang kerja oleh majikan. Sejak itu, hidup saya terus melarat hingga ke akhir hayat.
Ini bukan mustahil meskipun asbab permulaannya hanya tidak bawa wang yang cukup untuk beli kasut. Saya terfikir insiden sekecil itu pun menyimpul seribu satu iktibar untuk direnungi.
Pertama, untuk lakukan sesuatu, perlu timbang soal kemampuan. Selepas itu, baru buat keptusan. Kedua, buat persiapan. Jika tidak ada persiapan, masalah yang tidak sepatutnya timbul pun boleh berlaku. Ini yang saya ‘kantoi’ kerana tidak menyediakan wang yang cukup dalam dompet ketika ke kedai kasut. Ketiga, kerana terlalu ‘mengejar’ yang baru, kita mudah sahaja buat keputusan untuk buang apa yang ada walaupun banyak jasanya kepada kita.
Semoga bermanfaat kepada semua...

You May Also Like

0 comments