Mengandung Luar Rahim!!!
Mengandung luar rahim?
Sebagaimana namanya mengandung luar rahim, bermakna embrio yang sepatutnya menempel di dinding rahim tidak berada di dalam rahim tetapi berada di tempat lain iaitu tiub fallopian (tiub rahim) paling banyak kes atau ovari (kilang telur) atau boleh juga berada di dalam perut (amat jarang). Keadaan ini berlaku kerana kegagalan embrio untuk bergerak melalui tiub ke dinding uterus. Ini boleh berlaku akibat tiub yang tersumbat disebabkan banyak perkara antaranya jangkitan kuman pada tiub, kehadiran parut (scar) pada tiub disebabkan pembedahan yang lepas. Kehadiran IUCD pada rahim juga boleh menghalang penempelan embrio pada dinding rahim. Merokok juga dikatakan punca mengandung luar rahim. Bagi wanita yang telah mengikat salur fallopion mereka juga, mengandung luar rahim juga boleh berlaku.
Apakah mengandung luar rahim ini biasa berlaku kepada mana-mana wanita?
Untuk pengetahuan anda, bagi kalangan wanita muda dalam usia yang subur (reproductive age), mengandung luar rahim merupakan diagnosis pertama yang harus ada di dalam fikiran semua doktor apabila seorang wanita muda datang mengadu mengalami sakit perut yang teramat sangat. Ini kerana jika mereka salah membuat diagnosis, keadaan ini boleh mengundang kematian. Oleh itu, anda jangan berasa marah kepada doktor jika anda mengalami sakit perut tetapi anda belum berkahwin, doktor tetap bertanyakan bila tarikh akhir haid anda dan adakah anda pernah melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki. Semasa bertugas di Jabatan Kecemasan dahulu, ada kes dimana mereka menipu mengenai tarikh akhir haid dan menafikan hubungan dengan lelaki (samada mereka masih bujang atau ibu tunggal), namun disebabkan rasa prihatin doktor yang mahu menyelamatkan nyawa pesakit, pemeriksaan air kencing akan dilakukan dahulu untuk mengesahkan pesakit mengandung dan jika ianya positif , maka doktor selanjutnya akan menjalankan pemeriksaan ultrasound dan mendapati ianya kandungan luar rahim. Pesakit tidak menyedari sebenarnya jika mereka berbohong, mereka membahayakan diri mereka sendiri.
Tanda-tanda awal mengandung luar rahim
1. Anda tidak datang haid sebagaimana biasa (miss period) atau anda memang telah menyedari anda telah mengandung melalui ujian air kencing yang dilakukan.
2. Pada peringkat awal, anda mungkin akan mengalami tanda-tanda seperti wanita mengandung lain seperti loya dan mual.
3. Ada akan berasa sakit perut samada di sebelah kanan atau kiri. Kebiasaannya bagi orang lelaki, jika sakit perut pada bahagian kanan bawah (right iliac fossa), diagnosis utama adalah appendicitis tapi bagi perempuan muda dan dalam usia subur, diagnosis pertama adalah mengandung luar rahim. Pada mulanya sakit perut tersebut mungkin tidak berapa teruk tetapi apabila tiub fallopian pecah, maka akan akan mengalami sakit perut yang teramat sangat dan sakit perut ini akan merebak ke seluruh perut. Kebiasaannya tanda-tanda ini akan berlaku pada minggu ke-5 atau ke-6 mengandung kerana embrio sudah tidak dapat membesar di dalam tiub dan ia akan pecah.
4. Anda mungkin akan mengalami pendarahan yang sedikit melalui vagina sebab embrio telah tidak dapat membesar.
PERINGATAN: Anda harus SEGERA ke hospital apabila terdapat tanda-tanda berikut ada iaitu SAKIT PERUT DI BAHAGIAN KIRI ATAU KANAN PERUT DAN ANDA SEDANG MENGANDUNG MINGGU KE-4 ATAU KE-5 / HAID ANDA LAMBAT SELAMA 1-2 MINGGU.
Apakah rawatan untuk kes mengandung luar rahim
Kebiasaannya doktor akan melakukan pembedahan semada secara laparoscopic (guna alat robotic dan hanya tebukan kecil diperut, untuk kes yang belum pecah) atau laparotomy (pembedahan perut secara classic, untuk kes yang telah terpecah) untuk membuang kandungan luar rahim ini bagi menyelamatkan hanya ibu.
Apakah yang boleh menyebabkan kematian ibu
Bagi kes mengandung luar rahim yang tidak dikesan pada peringkat awal, ibu boleh meninggal disebabkan pendarahan dalaman.
Berita gembira untuk semua
Alhamdulillah dengan teknologi pada zaman kini, terdapat ultrasound yang dapat digunakan untuk mengenalpasti kejadian mengandung luar rahim. Kebanyakan hospital kerajaan yang berpakar dan mempunyai pakar perubatan kecemasan mempunyai alat ini di jabatan kecemasan masing-masing. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, kejadian ibu mengandung meninggal disebabkan kes mengandung luar rahim telah dapat dikurangkan.
kredit: http://klinik-ibuaiman.blogspot.com/
0 comments